Terminal Maritim Lumut 2 dijangka beroperasi 2026

Lumut: Lumut Port, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang membina Terminal Maritim Lumut (LMT) 2 di Batu Undan, Segari di sini yang disasarkan bakal mengendalikan tujuh juta tan metrik kargo apabila beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan projek membabitkan pelaburan bernilai RM282 juta itu bakal menjadi pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai pengendali terminal kargo pukal yang paling efisien di Asia Tenggara.

Menurutnya, LMT 2 juga mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu serta menampung pertumbuhan industri maritim dan permintaan logistik global dengan meningkatkan kapasiti pelabuhan dan kecekapan operasi.

“LMT 2 boleh menampung kapal seberat 50,000 tan untuk berlabuh berikutan kedalaman laut di sini adalah 12 meter.

“Terminal ini akan khusus bagi mengendalikan bahan mineral seperti batu kapur dan pasir silika,” katanya semasa sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah LMT 2 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PKNP merangkap Pengerusi Perak Corporation Berhad, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Saarani berkata, projek baharu itu dibangunkan di atas tanah berkeluasan 50 hektar (125 ekar) dan dijadualkan akan diperluaskan sehingga 242 hektar (600 ekar) secara berperingkat.

“Pembangunan LMT 2 membabitkan tiga fasa iaitu pertama, penyediaan asas tapak dengan pembelian tanah dan kerja-kerja penyiapan kawasan.

“Fasa kedua, pembangunan komponen utama terminal termasuk kerja pengerukan dan pembinaan infrastruktur darat dan marin.

“Fasa ketiga pula fokus kepada menyempurnakan pembangunan terminal dengan kelengkapan dan peralatan kendalian sesuai,” katanya.

Share Post:

View More

Related Articles