‘Pit-stop’ kapal isi minyak kini di Lumut

LUMUT – Kapal-kapal yang melalui Selat Melaka kini boleh mengisi minyak mereka di Pit-stop Bunker Hub @ Lumut, Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkhidmatan tersebut merupakan usaha terbaharu Lumut Port dalam usaha mengembangkan lagi perkhidmatannya.

Menurutnya, pihak Lumut Port menyasarkan sebanyak lima peratus atau 5,000 hingga 6,000 kapal daripada 80,000 kapal yang melalui perairan Selat Melaka dalam tempoh setahun untuk singgah mengisi minyak di sini.

“Saya bagi contoh kalau kita boleh bekalkan 2 juta liter minyak sebulan dalam setahun akan dapat pulangan tak kurang RM60 juta berdasarkan perkiraan secara rambang.

“Maknanya peluang perkhidmatan bunkering ini cukup luas dan akan memberikan banyak peluang kepada industri hiliran yang akan dimainkan oleh syarikat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3 Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini hari ini.

Mohammad Nizar (dua dari kanan) melihat sendiri kapal pengisi minyak ketika merasmikan Pit-stop Bunker Hub @ Lumut di Wharf 3 Terminal Maritim Lumut Kampung Acheh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Mubarak Ali Gulam Rasul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Beliau berkata, kos bagi perkhidmatan bunkering (pengisian minyak kapal) yang disediakan di Pelabuhan Lumut lebih murah berbanding perkhidmatan sama di Singapura dan Hong Kong.

Dalam pada itu Mohammad Nizar berkata, Pelabuhan Lumut sedikit ketinggalan setelah berada di sini lebih 25 tahun kerana sebelum ini mereka belum ada keupayaan untuk melaksanakan bunkering.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/55707/EDISI/Perak/Pit-stop-kapal-isi-minyak-kini-di-Lumut
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Share Post:

View More

Related Articles