Sultan Perak terima zakat RM25.8 juta bagi pihak MAIPk

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM25.8 juta daripada 20 syarikat serta agensi perniagaan.

Baginda menerima pembayaran itu bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Antara syarikat yang menyerahkan zakat berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM7.69 juta diikuti Lembaga Tabung Haji Negeri Perak (RM5.97 juta), Lembaga Air Perak (RM5.15 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM1.55 juta), dan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (RM1.07 juta).

Puncak Emas Infra Sdn Bhd pula menyerahkan zakat berjumlah RM700,110 manakala Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM691,571), Pertubuhan Peladang Negeri Perak (RM506,470), Perak Integrated Network Services Sdn Bhd (RM325,000), Perbadanan Menteri Besar Perak (RM305,000), Qsr Brands (M) Holdings Sdn Bhd (RM298,878), dan Ladang Moccis Sdn Bhd (RM256,440).

Turut menyumbangkan zakat adalah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM250,000), Agro Bank (RM234,559), Koperasi Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak (RM232,364), Gas Malaysia Berhad (RM200,000), Pertubuhan Peladang Kawasan Seberang Perak (RM125,771), Koperasi Co-Opbank Pertama Malaysia Berhad (RM125,550), Felcra Berhad Wilayah Perak (RM107,841), dan Koperasi Guru Melayu Perak (RM51,247).

Bagi zakat oleh Puncak Emas Infra Sdn Bhd, bayaran dibuat bagi tahun 2020, sementara zakat oleh Pertubuhan Peladang Negeri Perak dibayar untuk tahun 2018.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan semua cek berkenaan kepada Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Nordin.

Yang hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pegawai Teknologi Lembaga Tabung Haji Perak, Shamsul Kamal Hussein Kamal; Ketua Pegawai Kewangan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Zulkeefli Mad Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Berhad, Ahmad Hashimi Abdul Manap.

Majlis berlangsung serba ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung wabak COVID-19.

Share Post:

View More

Related Articles